Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Hernie Suliana Othman
BEIJING, REPUBLIK RAKYAT CHINA, Isnin, 11 Mei. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman hari ini berangkat tiba di Beijing Capital International Airport, Republik Rakyat China.
Juga berangkat ialah anakanda-anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa' Raihaanul Bolkiah.
Sejurus keberangkatan tiba, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri dijunjung oleh Member of the CPC Committee of the Ministry of Foreign Affairs and Vice Minister of Foreign Affairs, Puan Yang Terutama Hua Chunying dan bakal Duta Besar Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Chen Shaochun dan isteri.
Turut menjunjung keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia ialah Kuasa Usaha Sementara di Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Republik Rakyat China, Awangku Muhammad Saifuddin bin Pengiran Dato Paduka Haji Sallehuddin dan isteri.
Semasa Lawatan Rasmi ini, DYTM akan berangkat menghadiri majlis-majlis perjumpaan bersama Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Xi Jinping dan Naib Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Han Zheng serta majlis perjumpaan bersama Party Secretary of Shenzhen, Tuan Yang Terutama Jin Lei dan Minister of the General Administration of Sport of China, Mr. Gao Zhidan.
DYTM juga berangkat bagi mengadakan lawatan ke General Administration for Sport of China, Leju Robot Headquarters dan Huawei Headquarters.
Ini adalah kali kedua DYTM berangkat mengadakan Lawatan Rasmi ke Republik Rakyat China. Lawatan Rasmi DYTM yang pertama ialah pada tahun 2002, manakala pada tahun 2007, DYTM telah berkenan berangkat mengadakan Lawatan Kerja dan menghadiri 4th China-ASEAN Expo (CAEXPO).
Lawatan Rasmi ini mencerminkan persahabatan erat yang telah lama terjalin antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China.
Pada tahun ini, kedua-dua buah negara akan meraikan ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik dan lawatan ini memberikan peluang untuk mengeratkan lagi hubungan serta mewujudkan asas yang kukuh bagi meningkatkan pertukaran dan kerjasama.